Wednesday, November 17, 2010

KDN perlu bertindak terhadap Namewee - Hamdi

KDN perlu bertindak terhadap Namewee - Hamdi

IPOH 17 Nov. - Kementerian Dalam Negeri diminta mengambil tindakan tegas terhadap Wee Meng Chee atau Namewee kerana perbuatannya sebelum ini telah mengguriskan perasaan rakyat negara ini.

Penasihat kepada Menteri Besar Perak, Datuk Hamdi Abu Bakar berkata, ia kerana kalau tidak diambil tindakan pihaknya bimbang perbuatan ekstremis seperti itu akan berleluasa dan boleh menggugatkan kestabilan negara.

Beliau berkata, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein perlu mengambil tindakan sewajarnya kerana perbuatan Namewee yang sebelum ini mengubah semula lagu Negaraku dan menunjukkan isyarat lucah dalam klip video telah mengguriskan perasaan rakyat Malaysia.

"Kalau kerajaan tidak bertindak terhadap lelaki biadap itu kelak kita akan dituduh tidak tegas terhadap mereka yang mencemarkan imej negara," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas lebih 30 pertubuhan bukan kerajaan (NGO)di Pahang semalam membantah penganjuran persembahan Namewee yang dijadual berlangsung di sebuah kelab hiburan di Kuantan, Sabtu ini.

Namewee yang sebelum ini mencetuskan kontroversi apabila mencerca seorang guru dan mengubah lagu Negaraku dijadual mengadakan persembahan itu berdasarkan kain rentang di depan kelab terbabit.

Hamdi yang juga Ketua Penerangan kerajaan negeri berkata, pihaknya bimbang rakyat akan menyalahkan kerajaan apabila tidak peka dengan desakan terutama oleh NGO yang prihatin dengan negara ini.

Katanya, undang-undang yang tegas dan tidak bertolak ansur dengan mana-mana pihak yang mencetuskan kegelisahan rakyat hendaklah dikuatkuasakan agar golongan ekstremis tidak akan berkembang di negara ini.