• Ekspedisi AntartikaMenteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said (tiga, kiri) bergambar bersama peserta ekspedisi ketika mengadakan lawatan ke Antartika baru-baru ini. - Foto Bernama
 1 / 1 
KUALA LUMPUR - Ekspedisi saintifik ke Antartika yang dianjurkan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi pada Januari lepas membabitkan kos sebanyak RM846,328.26.
Menterinya, Datuk Ewon Ebin berkata, ekspedisi itu disertai lapan delegasi diketuai Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said.

Beliau berkata, ekspedisi itu dibiayai tiga pihak iaitu Yayasan Pendidikan Antartika Sultan Mizan (YPASM) sebanyak RM209,873.72, kerajaan Terengganu (RM239,254.54) dan Institut Penyelidikan Antartika Chile (INACH) sebanyak RM397,200.

"Kos ini termasuk penginapan dan makan sepanjang ekspedisi, kos perjalanan kapal dan kemudahan bot serta kakitangan sokongan bagi melawat beberapa buah stesen penyelidikan di Antartika.

"Secara puratanya kos yang dibiayai oleh YPASM dan kerajaan Terengganu bagi setiap delegasi ialah sebanyak RM56,141," katanya dalam jawapan bertulis kepada soalan Sim Tze Tzin (PKR-Bayan Baru) di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Tze Tzin ingin tahu kos ekspedisi selama 15 hari ke Antartika yang dianjurkan kementerian dengan kerjasama YPASM dari 18 Januari hingga 4 Feb lalu serta senarai nama peserta dan jawatan selain rasional mereka menyertai  rombongan itu.

Lawatan atas undangan INACH itu bertujuan membuka laluan bagi membantu kerajaan menubuhkan sebuah stesen penyelidikan bersama INACH. - Bernama