Tuesday, October 19, 2010

RM797 juta untuk Istana Negara yang baru, almost RM1 bilion. Wajarkah...

Kerajaan lulus peruntukan tambahan RM147j bina Kompleks Istana Negara

KUALA LUMPUR 18 Okt. – Kerajaan bersetuju meluluskan peruntukan tambahan sebanyak RM147 juta bagi menampung kos-kos yang tidak termasuk dalam kontrak asal untuk pembinaan Kompleks Istana Negara yang baru di Jalan Duta.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Shaziman Abu Mansor berkata, jumlah itu menjadikan kos keseluruhan pembinaan bangunan itu sebanyak RM797 juta.

‘‘Kos tambahan itu adalah untuk meningkatkan sistem kawalan keselamatan, bayaran sumbangan modal kepada syarikat-syarikat utiliti dan lain-lain kos berkaitan termasuk hiasan dalaman,’’ katanya dalam jawapan bertulis bagi pertanyaan yang dikemukakan Lim Lip Eng (DAP-Segambut) di Dewan Rakyat hari ini.

Katanya, kos asal yang ditetapkan bagi membina Istana Negara itu adalah sebanyak RM650 juta tetapi ia tidak melibatkan beberapa skop komponen projek yang sepatutnya diambil kira untuk melengkapkan keseluruhan istana tersebut.

Dalam pada itu, beliau berkata, pembinaan kompleks itu juga memerlukan jalan akses yang sempurna dan dalam konteks itu, kos kontrak bagi pembinaan jalan susur keluar masuk ke kawasan telah ditetapkan kerajaan.

“Persimpangan Bertingkat Istana Negara dari Jalan Duta ditetapkan berjumlah RM106 juta iaitu penjimatan berbanding anggaran kos asal sebanyak RM130 juta dan RM32.5 juta bagi kos menaik taraf Jalan Changkat Semantan,” katanya.

Katanya, kos operasi dan pengurusan kompleks itu akan ditentukan setelah keseluruhan projek tersebut siap sepenuhnya pada 30 Jun 2011.

No comments:

Post a Comment