Sunday, November 3, 2013

First Admiral (Rtd) Mohd Imran Abdul Hamid MP Lumut

Imran meredah ombak, daripada tragedi kepada kemenangan

OLEH JENNIFER GOMEZ
NOVEMBER 03, 2013
Surat takziah peribadi daripada Datuk Nik Aziz Nik Mat (gambar) lapan tahun lalu merubah kehidupan Laksamana Pertama (B) Mohd Imran Abdul Hamid. Daripada menyokong kerajaan, beliau mula beralih kepada parti Islam pimpinan Nik Aziz.
Hari ini, Mohd Imran adalah nama besar yang menduduki kerusi parlimen Lumut menewaskan Menteri Pengangkutan ketika itu, Datuk Seri Kong Cho Ha pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).
Lapan tahun sebelumnya, bapa kepada enam anak ini menerima kejutan apabila kehilangan empat anaknya dalam kemalangan di Grik pada Februari 2005 ketika dalam perjalanan pulang dari Kota Baru.
Menerima takdirnya, beliau berkata surat Nik Aziz memberinya kekuatan untuk menyertai PAS.
"Saya bertanya di dalam hati, lelaki ini tidak kenal saya tetapi menghantar surat," katanya kepada The Malaysian Insider ketika berehat di Parlimen, Kuala Lumpur.
Pesara tentera kepada ahli politik
Namun kurang lima tahun kemudian, beliau bersara dan secara rasmi menyertai PAS dan menjadi ketua di bahagian Sitiawan Barat.
"Selepas 2005 saya mula menyokong PAS secara terbuka kerana saya telah melalui kehidupan yang teruk, apa lagi nak takut.
"Kalau nak ambil tindakan pun saya tak kisah," katanya yang kini berusia 59 tahun.
Mohd Imran berkata, sebagai anggota tentera, beliau dijangka menyokong kerajaan dan ia berlaku disebabkan kematian anak-anaknya.
"Bila kita memakai uniform, kita dilihat menyokong Umno. Mereka beritahu apa yang perlu dipercayai dan mengikut aturan," katanya yang telah 37 tahun berkhidmat.
Pilihan Raya 2013
Ketika berlangsungnya PRU13  lalu, Mohd Imran dinamakan sebagai calon ketiga di kerusi Dewan Undangan Negeri Pasir Panjang selepas bekas Menteri Besar Perak Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin dan Ketua Dewan Muslimah PAS Rohawatu Abidin.
Nizar kemudiannya dicalonkan bagi kerusi Changkat Jering, dan Rohawati kerusi Pasir Panjang. Mohd Imran ketinggalan.
Perkara yang mengejutkan kemudian berlaku - beliau menerima panggilan daripada Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.
"Saya macam tak percaya beliau menghubungi saya dan minta saya berjumpanya."
"Malah ketika memandu ke KL, saya masih tak percaya. Betulkah ia berlaku," kata Mohd Imran.
Apa yang Anwar beritahunya di Ibu Pejabat PKR amat mengejutkan.
"Beliau tanya sama ada saya berminat untuk bertanding di Kerusi Lumut tetapi jangan lupa, beliau PKR, saya PAS.
"Jika saya berminat katanya, saya perlu tukar baju, maknanya saya perlu tinggalkan PAS dan sertai PKR," katanya.
Selepas berfikir dan membuat pertimbangan, beliau menerima tawaran Anwar.
Semuanya bermula di Grik
Anwar membuat pengumuman Mohd Imran adalah calon PKR untuk Lumut, di Grik, kawasan sama beliau hilang empat anaknya, suatu perkara yang tidak dijangkakan.
"Ini adalah petanda. Di sini tempat rakan-rakan saya mengadakan doa selamat untuk anak-anak saya. Ia sangat signifikan untuk saya," katanya.
Beliau kemudiannya memulakan kerja kerasnya dan menerima bantuan tidak dijangka, daripada komuniti Cina.
"Sebagai orang muda, saya ada rakan Cina sebagai ayah yang memandu untuk berjumpa taukeh Cina.
"Selepas 13 Mei, perkara berubah, Melayu dan Cina berasingan," katanya merujuk peristiwa 13 Mei 1969.
Mohd Imran amenambah berada dalam tentera turut bermaksud beliau tidak mempunyai ramai rakan Cina.
Disebabkan itu, Mohd Imran tersentuh apabila Pengerusi DAP Perak Datuk Ngeh Koo Ham dan Penasihat DAP Lim Kit Siang membantu di peringkat akar umbi.
Dengan bantuan komuniti Cina, membantu beliau menewaskan Kong dengan majoriti 8,168 undi.
"Saya bertanding menentang menteri, tetapi hampir semua Cina mengundi saua," katanya.
Mohd Imran, bagaimanapun tidak menerima sokongan rakan tenteranya.
"Mereka berkata jika mengundi saya mereka tidak mendapat kenaikan pangkat.
"Tetapi saya menerima undi masyarakat Cina di bandar-bandar," katanya.
Beliau bagaimanapun memuji lawannya yang menjadi individu pertama memberikan ucapan tahniah.
"Kong Cho Ha datang ke pusat mengundi di Dewan Merdeka pada jam 10 malam dan mengucapkan tahniah. Saya tak tahu sama ada betul atau tidak," kata Mohd Imran.
Beliau turut berterima kasih untuk bantuan kewangan daripada saudara-mara yang kebanyakannya penyokong BN.
"Mereka menyokong Umno tetapi bangga sebab saya bertanding. Tiada isu mereka mengundi saya kerana mereka berada di kawan pengundian lain di Shah Alam, Klang dan juga Kelantan," katanya.
Ahli Parlimen satu penggal terus bekerja
Dengan kemenangan tidak dijangka, Mohd Imran mengharapkan kepimpinannya untuk menjadi ahli Parlimen.
"Sudah tentu sebagai ahli Parlimen kita perlu mendengar kepada rakyat, bukan sebaliknya. Tapi saya tahu bila masanya perlu tegas dalam membuat keputusan, dan saya tahu mengetuai orang," katanya.
Pertama di Parlimen dan terakhir dalam sesi harian, Mohd Imran kini sedang meneliti kontroversi perjanjian Scorpenen.
Beliau turut ditugaskan untuk mendapatkan respons Kementerian Pertahanan berhubung dana tambahan RM238 juta.
"Dana awal adalah sangat banyak, takkan mereka telah menghabiskannya," katanya.
Beliau bagaimanapun mengakui belum lagi mencapai tugasan utamanya, melawat Nik Aziz yang menjadi penyebab beliau menyertai politik.
"Saya ingin melakukannya. Insya-Allah," katanya. – 3 November, 2013.

No comments:

Post a Comment